Hamzah Zainudin

MELAKA – Keputusan kerajaan tidak melanjutkan perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selama enam bulan lagi menggambarkan Perdana Menteri tidak peduli mengenai masa depan perundangan negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat banyak permintaan daripada rakyat termasuk mahu beliau mengemukakan usul tergempar kepada Dewan Rakyat agar wakil rakyat dapat membincangkan isu pelantikan hakim.

“Mengapa kerajaan hari ini langsung tidak memikirkan tanggungjawab mereka dengan melihat ini (pelantikan Ketua Hakim Negara) adalah sesuatu yang patut diberikan keutamaan bukan hanya ‘last minit’ seperti ini.

“Sehinggakan ada suara-suara daripada penyokong kerajaan sendiri untuk menyambung atau memberikan sedikit peluang kepada (bekas) Ketua Hakim Negara supaya diberikan sekurang-kurangnya lanjutan enam bulan lagi (perkhidmatan),” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Bahagian-bahagian Bersatu Melaka di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, sepatutnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar dan faham mengapa ada penyokong mereka mahukan perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan.

“Tapi hari ini ia tidak berlaku, maka sudah nampak bahawa kepentingan untuk menjaga perundangan kehakiman dalam negara kita ini langsung tidak dipedulikan lagi.

“Ini yang kita persoalkan…saya bukan mahu pre-empt (mendahului) tapi nampak gayanya inilah spekulasi yang ada di luar sana mengatakan seolah-olah perkara ini sengaja dilakukan,” katanya.

Tengku Maimun bersara wajib apabila genap usia 66 tahun 2 Julai lalu, namun tempoh perkhidmatannya boleh disambung selama enam bulan lagi sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis lalu memaklumkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Pelaksanaan tugas itu turut merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast