KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara antara 3.86% hingga 57.90% ke atas import produk gegelung atau kepingan besi bergalvani atau gegelung atau kepingan keluli bergalvani (dagangan subjek) yang dieksport dari China, Korea dan Vietnam.
Pengenaan duti anti-lambakan sementara akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Julai 2025 dan penentuan muktamad akan dibuat pada atau sebelum 3 November 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, langkah ini dibuat selepas Kerajaan Malaysia memulakan penyiasatan duti-anti lambakan dagangan subjek pada 6 Februari lalu.
Menurutnya, penyiasatan duti anti-lambakan telah dimulakan selaras dengan peruntukan dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh CSC Steel Sdn. Bhd. (Pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.
Pempetisyen mendakwa dagangan subjek dari negara-negara berkenaan diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
“Kerajaan telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan duti anti-lambakan tersebut sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 23 dalam akta.
Sehubungan itu, Kerajaan mendapati terdapat bukti mencukupi pengimportan dagangan subjek dari China, Korea dan Vietnam diimport pada harga lambakan serta penyiasatan seharusnya diteruskan.
“Duti anti-lambakan dikenakan untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan semasa penyiasatan dijalankan,” kata MITI dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan dialu-alukan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada MITI selewat-lewatnya pada 14 Julai 2025 (Isnin). – MalaysiaGazette
















