KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mati akibat ditendang lembu di Ladang Batu 2 Kerling, Hulu Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Ibrahim Husin berkata, mangsa seorang lelaki India berusia 53 tahun.
“Semalam lebih kurang pukul 7. 55 pagi semasa pengadu berada di Ladang Batu 2, Kerling telah diberitahu oleh pekerja sawit berbangsa Indonesia ada menemui seorang tidak sedarkan diri di dalam sungai berhampiran ladang.
“Pengadu segera pergi ke tempat tersebut dan terus menghubungi MERS 999 dan telah mengarahkan pekerja di ladang tersebut untuk membuat bantuan kecemasan dan ketika itu nadi si mati masih ada,” katanya dalam kenyataan.
Kemudiannya mereka membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Baharu, kata Ibrahim.
“Doktor yang bertugas memberitahu ada kesan luka di dahi dan perlu membuat post mortem serta perlukan pengadu membuat laporan,” ujarnya.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan otak akibat jatuh dari Kawasan tinggi.- MalaysiaGazette
















