Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota yang dicemari jerebu berikutan insiden kebakaran hutan di Kalimantan, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengubah skala atau lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan petang ini.

Beliau berkata, antara perkara yang akan dinilai termasuk keadaan jerebu, ramalan cuaca bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang serta aspek keselamatan dan kesihatan peserta dan orang ramai.

“Jemaah Menteri telah mengambil maklum daripada Jabatan Meteorologi mengenai keadaan jerebu yang sedang melanda negara termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain Sarawak yang banyak terkesan.

“Jemaah Menteri telah memutuskan Tan Sri KSN ditugaskan untuk mengadakan satu perbincangan dengan semua jabatan yang berwajib dan juga Kementerian Komunikasi sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Sambutan Hari Kebangsaan dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Bagaimanapun kata Fahmi, kerajaan belum memutuskan untuk membatalkan acara berkenaan, sebaliknya sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mengubah skala sambutan atau memindahkannya ke lokasi lain.

“Kita tidak akan batalkan tetapi sama ada skalanya berubah ataupun diubah lokasi. Kita tunggu hasil mesyuarat Tan Sri KSN petang ini,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan turut memberiu perhatian kepada program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 30 Ogos ini.

“Keputusan berhubung penganjuran kedua-dua acara itu akan mengambil kira pandangan beberapa kementerian berkaitan.

“Ini termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Meteorologi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here