KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Jalan 23, Taman Bukit Kuchai, Puchong pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten komisioner Muhamad Farid Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 11.05 pagi memaklumkan, mengenai seorang lelaki berbangsa Cina telah membuat gangguan di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada tubuh lelaki terbabit yang kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai si mati atau kejadian ini agar tampil membantu siasatan.
“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan kekeliruan dan gangguan kepada siasatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















