KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri berkaitan supaya segera memberi taklimat komprehensif kepada semua ahli Parlimen kerajaan susulan kontroversi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Menurut bekas Naib Presiden DAP itu, ketelusan dan akauntabiliti mesti menjadi asas utama dalam usaha kerajaan mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.
“Sikap berdiam diri dan kelewatan kerajaan dalam membuat pelantikan penting itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai sidang akhbar sekumpulan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.
Sidang akhbar yang turut disertai enam ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan.
Sementara itu, Teresa berkata, bukan satu kelaziman bagi ahli Parlimen kerajaan untuk bersuara secara terbuka namun kekosongan berpanjangan dalam jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam.
“Ahli Parlimen PKR telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik demi kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















