Mahkamah Jasin

JASIN – Seorang anggota Jabatan Penjara direman dua hari oleh Mahkamah Jasin, di sini hari ini selepas disyaki meraba payudara rakan sekerjanya yang juga ibu kepada tiga anak, Mei lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 30 tahun sehingga esok dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul kehormatan.

Menurut sumber, suspek ditahan di pejabatnya selepas pihak polis menerima aduan dibuat mangsa, anggota berpangkat sarjan berusia 39 tahun yang turut ditemani suaminya awal pagi semalam.

“Kejadian terbongkar semalam selepas pengadu menceritakan kejadiannya dicabul kepada suami kerana tertekan dengan gangguan suspek berpangkat koperal yang kerap menghantar mesej lucah kepadanya.

“Mangsa yang berpangkat sarjan mendakwa, kejadian berlaku pada Mei lalu apabila suspek datang ke pejabatnya berkenaan urusan kerja tiba-tiba memeluk dan meraba payudaranya menyebabkan pengadu melawan,” katanya.

Menurutnya, pengadu bagaimanapun tidak menceritakan perkara itu kepada suaminya kerana bimbang berlaku pergaduhan antara suaminya dengan suspek.

“Sehinggalah pada 13 Jun lalu, suspek sekali lagi masuk ke bilik pejabat pengadu dan mengajaknya berbual sebelum lelaki itu tiba-tiba menghampiri pengadu dan mengurut bahunya.

“Pengadu telah menegur perbuatan suspek sebelum lelaki itu beredar dan mangsa menceritakan kejadian itu kepada suaminya kerana berasa takut dan tertekan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast