Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang pemegang akaun TikTok membayar ganti rugi RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor kerana memfitnah beliau mengamalkan ilmu hitam, dua tahun lalu.

Isteri bekas perdana menteri itu menyaman Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, bagi menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memfitnah beliau dalam rakaman video berkenaan yang disiarkan pada 22 Mac 2023.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan jumlah tersebut meliputi ganti rugi am dan ganti rugi teruk dalam prosiding taksiran ganti rugi.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan ganti rugi teladan diberikan kepada Rosmah kerana plaintif gagal mengemukakan keterangan kukuh bagi menyokong dakwaannya.

Pada 28 Mei 2024, media melaporkan, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar dari Mahkamah Tinggi selepas Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan.

Pada 19 September 2023, Rosmah menyaman pemilik akaun TikTok itu kerana membuat kenyataan dalam video yang mencemar nama baik dan reputasinya selain memberi gambaran beliau gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong taksiran ganti rugi, isteri bekas Perdana Menteri menyatakan, jumlah RM1 juta itu wajar kerana kenyataan fitnah tersebut merosakkan reputasi beliau.

Rosmah memohon ganti rugi dengan mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya dalam masyarakat selain mempertimbang bahawa reputasi beliau sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini.

Afidavit yang difailkan pada 10 Oktober 2024 antara lain menyatakan, kenyataan-kenyataan fitnah yang dimuatnaik defendan menjadi bualan hangat.

“Ekoran fitnah yang dimuatnaik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.

“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast