Logo ASEAN yang berada di hadapan pusat beli-belah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Ketika mata dunia tertumpu di Kuala Lumpur minggu ini, Malaysia melangkah penuh keyakinan dalam menerajui kepemimpinan ASEAN 2025 dengan membuka tirai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) hari ini.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ – mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu – menjadi pentas diplomatik penting menghimpunkan suara serantau dan antarabangsa.

Hari ini dimulakan dengan dua mesyuarat utama yang mencerminkan keprihatinan ASEAN terhadap isu-isu mendasar dan strategik iaitu hak asasi manusia dan keselamatan serantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan Mesyuarat Suamuka ASEAN bersama wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) di mana para Menteri Luar ASEAN termasuk Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berkumpul bagi meneliti komitmen bersama memperkukuh pelindungan hak asasi di rantau ini.

Mohamad juga turut mengetuai Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang memperhalusi pelaksanaan Pelan Tindakan Perjanjian SEANWFZ dan membuka ruang kepada penyertaan Timor- Leste ke dalam inisiatif zon aman.

Isu yang turut menjadi perhatian adalah usaha berterusan ASEAN mendapatkan sokongan rasmi daripada lima Negara Senjata Nuklear (NWS) terhadap Protokol SEANWFZ, satu pencapaian yang masih belum tuntas sejak perjanjian dimeterai pada 1995.

Mengikut jadual yang diedarkan kepada media, sebelah petang turut disusuli dengan dua mesyuarat tiga hala penting antara Malaysia–Brazil–Sekretariat ASEAN dan Malaysia–Norway–Sekretariat ASEAN.

Kedua-dua mesyuarat bertujuan mengukuhkan hubungan luar ASEAN, membincangkan isu pembangunan global, perubahan iklim serta keselamatan serantau.

Turut serta dalam sesi kali ini ialah Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz.

Secara keseluruhan, AMM ke-58 merangkumi 24 mesyuarat peringkat Menteri sepanjang minggu ini termasuk libat urus bersama Rakan Dialog dan Dialog Sektoral ASEAN.

Kira-kira 1,500 delegasi berkumpul di ibu negara menjadikan Kuala Lumpur pusat diplomasi serantau yang menyaksikan ASEAN terus teguh memperjuangkan prinsip kerjasama, keamanan dan pembangunan yang saksama bermula hari ini sehingga Jumaat. 

Sebagai tuan rumah, Malaysia bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat sebaliknya menjadi pemacu kepada arah tuju ASEAN menghadapi cabaran masa depan dengan menjadikan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bukan sekadar tema tetapi tekad bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast