Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tiga dari kiri) ketika Majlis Pra Pelancaran ASUF, AGMF dan MGMAC

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal mengorak langkah besar sebagai pemimpin negara serantau dalam pembangunan bandar mampan dengan menganjurkan tiga acara bertaraf antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN 2025, bermula 10 hingga 15 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penganjuran itu bukan sekadar misi diplomatik atau simbolik semata-mata tetapi medan nyata Malaysia menzahirkan tanggungjawab serantau dan antarabangsa.

Ia selaras dengan status negara sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat pada 2025.

“Tiga acara utama itu adalah Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF), serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).

“Penganjuran itu dijangka menjadi platform penting memperkukuh kerjasama antara bandar, menggubal dasar inovatif dan menegaskan kedudukan Malaysia sebagai peneraju urbanisasi mampan di rantau ini.

“Pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan dunia terhadap wawasan Malaysia dalam mewujudkan pembangunan bandar yang inklusif, berfokuskan rakyat dan mampan. Ia bukan hanya satu penghormatan, tetapi satu amanah,” katanya.

Bertemakan Bandar dan Wilayah Masa Hadapan ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan, ketiga-tiga program memberi tumpuan kepada aspek inklusif sosial dan kelestarian alam sekitar, seiring dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, Strategi Urbanisasi Mampan ASEAN (ASUS) dan agenda Malaysia MADANI.

“Program ini dijangka menghimpunkan seramai 8,000 peserta, termasuk 10 gabenor dan datuk bandar ibu negara ASEAN, 156 pihak berkuasa tempatan serta pelbagai wakil kerajaan, akademik, NGO dan sektor swasta.

“Setakat ini, lebih 6,000 peserta telah mendaftar, mencerminkan sokongan luar biasa terhadap inisiatif ini.

“Malah sambutan hangat turut diterima daripada komuniti belia serantau apabila lebih 600 individu dari Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura memohon menyertai program sukarelawan.

“Selain itu, seramai 200 telah disenarai pendek untuk menyokong kelancaran acara berprestij ini.

Penganjuran itu turut mendapat dukungan strategik daripada Sekretariat ASEAN, UN-Habitat dan United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG-ASPAC).

Pelaksanaan forum turut disokong sektor swasta dan korporat dengan penyertaan penaja utama seperti PR1MA Corporation Malaysia dan Airbnb Singapore.

Malaysia Airlines, FlyFirefly dan Trip.com pula berperanan sebagai rakan rasmi dalam sektor pengangkutan dan perjalanan.

Di samping sesi perbincangan dasar, dialog dan latihan teknikal, peserta juga akan disajikan dengan urban expo menampilkan 100 reruai, acara bandar interaktif serta lawatan tapak yang memberi peluang mendalami amalan terbaik pembangunan mampan dari pelbagai negara ASEAN.

“Tumpuan besar turut diberikan kepada cabaran kontemporari seperti perubahan iklim, mobiliti bandar, penuaan populasi, keterangkuman golongan rentan dan transformasi digital.

“Ia selaras dengan aspirasi membentuk bandar masa depan yang sihat, inovatif serta bersedia menghadapi ketidaktentuan global.

“Penganjuran ini juga menjadi medan penting mempererat kesalinghubungan antara kerajaan tempatan, memacu pembangunan hijau, serta membina masa depan bandar yang bukan sahaja membangun tetapi membahagiakan,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast