Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar bersama menteri-menteri luar pada Sesi Libat Urus Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Perlindungan dan pemerkasaan hak asasi manusia perlu menjadi teras utama dalam pembentukan Komuniti ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masa depan ASEAN hanya akan bermakna jika hak dan maruah rakyat di rantau ini dilindungi secara menyeluruh.

“Aspirasi kita untuk mewujudkan ASEAN yang dinamik, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat hanya akan menjadi realiti jika kita terlebih dahulu menjamin hak serta maruah rakyat kita,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) hari ini.

Menteri-Menteri Luar ASEAN termasuk dari Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Sesi Libat Urus Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JULAI 2025.

Mohamad berkata, ASEAN kini memasuki fasa baharu integrasi susulan pengumuman ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung Mei lalu.

Katanya,dokumen visi itu secara jelas mengiktiraf promosi serta perlindungan hak asasi sebagai elemen asas dalam usaha membina komuniti serantau.

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 telah memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ iaitu  pendekatan berlandaskan keyakinan masa depan ASEAN perlu dibina melalui kerangka pembangunan yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan dengan rakyat sebagai nadi utama,” kata beliau.

Sementara itu, Mohamad menyambut baik inisiatif AICHR dalam membangunkan dua deklarasi yang mencerminkan keprihatinan terhadap isu-isu yang semakin mendesak.

Dua deklarasi itu ialah ‘ASEAN mengenai Hak terhadap Persekitaran yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan’ serta  ‘Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Keamanan demi Pembangunan Inklusif dan Mampan.

“Kedua-dua deklarasi ini bukan sahaja relevan, malah sangat diperlukan, terutama bagi komuniti yang rentan terhadap kerosakan alam sekitar, ketidaksamarataan dan ketidakstabilan.

“Ianya mencerminkan kesungguhan ASEAN dan AICHR untuk bertindak balas terhadap cabaran semasa secara berkesan dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pembentangan Laporan Tahunan AICHR 2025 yang memberi peluang kepada menteri memahami perkembangan semasa selain pencapaian serta cabaran dalam memajukan agenda hak asasi manusia di rantau ini.

“Lebih 15 tahun sejak penubuhan AICHR, kita menyaksikan kemajuan penting tetapi usaha ini perlu terus berkembang. Kita perlu memperkukuh mekanisme AICHR agar lebih berkesan, memberi impak nyata serta menjamin penglibatan lebih menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast