Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kuasa yang lebih luas perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) termasuk dengan menaikkan statusnya sebagai badan berperlembagaan ke arah melindungi kebebasan institusi kehakiman.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, keanggotaan JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan anggota yang dipilih oleh Perdana Menteri, sekali gus mengurangkan kuasa Perdana Menteri sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Tambahnya, cadangan penambahbaikan JAC itu boleh diusulkan dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu lantikan kehakiman seperti gesaan sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

“BERSIH sebelum ini telah mendesak agar pelantikan kehakiman ini dibuat melalui proses lantikan yang lebih telus dan tidak sepenuhnya di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Cabang kehakiman adalah salah satu cabang yang penting dalam urusan semak dan imbang kepada eksekutif dan legislatif,” katanya.

Kelmarin, sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Sidang akhbar yang turut disertai enam Ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat JAC yang dipersoalkan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu Bersih menambah, isu pelantikan kehakiman mempunyai kesan yang serius dan mendalam terhadap pelaksanaan keadilan di Malaysia.

Katanya, sekiranya Kerajaan Madani khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melantik hakim-hakim melalui proses yang telus dan terbuka, persepsi umum akan melihat bahawa eksekutif sedang mencampuri atau lebih parah mengawal urusan lantikan kehakiman. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast