Mohd Ali melafazkan perasmian Birkin International Hotel di Klebang, Melaka hari ini.

MELAKA – Kewujudan jenama hotel antarabangsa di Melaka bukan sahaja menyerikan landskap hospitaliti malah menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap potensi besarnya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Birkin International Hotel (Birkin) yang terletak di pesisir Pantai Klebang merupakan yang pertama dibangunkan sebuah syarikat antarabangsa dari Taiwan dengan nilai pelaburan hampir RM1 bilion.

“Lokasinya yang strategik serta reka bentuknya yang ikonik, hotel ini bukan sekadar tempat penginapan semata-mata, ia kini berdiri sebagai mercu tanda baharu yang yang mencerminkan wajah Melaka dalam peta pelancongan dunia.

“Saya menzahirkan setulus penghargaan kepada YeaShin International Development di atas keyakinan memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan pertama bagi jenama hotel ikonik ini,” katanya.


Mohd Ali menandatangani plak perasmian Birkin International Hotel di Klebang, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Birkin International Hotel yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Presiden YeaShin International Development Co. Ltd, Yao Lien Ti dan Pengurus Besar Birkin International Hotel, Simon Tan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sejak dibuka pada 14 Februari lalu, hotel bertaraf lima bintang itu telah merekodkan hampir 7,000 pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kehadiran hotel ini turut memberikan limpahan ekonomi secara langsung dengan menyediakan lebih 150 peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” tambahnya.

Simon Tan

Sementara itu, Simon berkata, hotel berkenaan sudah membuat pemohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendapat pensijilan halal bagi dapur restoran dan dapur hotel yang menyediakan perkhidmatan bankuet.

“Kita sudah kemukakan permohonan sijil halal sebelum ini dan dijangkakan hujung bulan ini kedua-dua dapur ini akan mendapat sijil halal daripada JAKIM menjelang Ogos ini.

“Ini juga selari dengan keperluan industri halal yang kian mendapat tempat di peringkat serantau dan global sekali gus menjadikan Birkin antara peneraju dalam segmen pelancongan premium patuh syariah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast