KUALA LUMPUR – Ketika dunia semakin berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ASEAN mempergiat usaha untuk memperkukuh kesepaduan serantau melalui integrasi ekonomi lebih mendalam dan kerjasama tenaga rentas sempadan.
Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata, perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang sedang berlangsung di sini memberi penekanan kepada langkah kolektif membina daya tahan ekonomi dan tenaga bagi jangka panjang.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN tidak boleh berdiri secara terpisah. Usaha memperkasa Grid Tenaga ASEAN dan pembangunan kabel tenaga dasar laut mencerminkan keseriusan kita menangani cabaran bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.
Untuk makluman, Balakrishnan kini berada di Kuala Lumpur menyertai siri mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
MoU tenaga dijangka dimeterai Oktober ini semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur yang akan menjadi pencapaian penting ke arah keterjaminan bekalan elektrik rentas sempadan.
Beliau turut mendedahkan, ASEAN sedang menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China yang bakal ditandatangani akhir tahun ini sebagai usaha memacu pertumbuhan lebih inklusif.
Dalam perkembangan lain, kata Balakrishnan, ASEAN menunjukkan solidariti kukuh apabila sebulat suara menyokong penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 Oktober ini.
Katanya, Singapura juga amat komited untuk membantu Timor-Leste melalui program pembangunan dan pembinaan keupayaan.
Menyentuh krisis Myanmar, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal penting, dan semua pihak berkepentingan mesti dilibatkan dalam dialog bermakna bagi mencari penyelesaian aman.
“Situasi di Myanmar masih membimbangkan. ASEAN mesti terus memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada keamanan yang mampan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















