Tangkap layar majlis lelongan harga minuman keras dilapor telah diadakan di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian pada minggu lalu.

 

 

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membenarkan fasiliti sekolah digunakan bagi penganjuran jualan arak yang berlangsung di kawasan sebuah sekolah di Pontian, Johor.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menjalankan siasatan termasuk semakan terhadap prosedur kelulusan penggunaan premis sekolah oleh pihak luar.

GPMS berkata, pihaknya kesal mendalam terhadap laporan penganjuran jualan arak yang berlangsung di sekolah berkenan walaupun dimaklumkan tiada pelajar mahupun guru yang terlibat secara langsung dalam acara tersebut.

“Kawasan sekolah tetap merupakan zon amanah pendidikan dan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai moral, sensitiviti agama serta etika pendidikan tidak sepatutnya berlaku di kawasan tersebut walau di luar waktu persekolahan atau dianjurkan oleh pihak luar.

“Kita tidak boleh memisahkan lokasi daripada fungsi. Sekolah tetap sekolah, ia simbol pendidikan, moral dan pembentukan akhlak termasuk sekolah swasta, vernakular mahupun antarabangsa.

“Jualan atau lelongan arak di dalam kawasan sekolah, walau tiada pelajar atau guru terlibat, tetap satu pengabaian tanggungjawab dan ia budaya yang jijik,” tegas Presiden GPMS, Fazreen Fauzi.

Menurutnya, premis sekolah bukan tempat sesuai untuk aktiviti yang melibatkan arak, tanpa mengira waktu, tujuan atau pihak penganjur kerana penggunaan ruang sekolah bagi aktiviti sedemikian memberi mesej songsang, sekali gus mencalar kredibiliti institusi pendidikan.

Lagipun, kata beliau, ketiadaan pelajar atau guru tidak menghapuskan tanggungjawab pihak sekolah untuk memastikan nilai dan reputasi institusi dijaga.

Oleh itu, KPM perlu mengeluarkan garis panduan baharu berkenaan penggunaan fasiliti sekolah oleh pihak ketiga, agar peristiwa ini tidak berulang di mana-mana sekolah di negara ini.

GPMS turut menegaskan tanggungjawab menjaga kesucian institusi pendidikan bukan sekadar pada waktu persekolahan atau dalam bilik darjah, tetapi juga dalam pengurusan fasiliti, simbol dan reputasi sekolah sebagai tempat yang dihormati oleh masyarakat.

“Jika sekolah mula membenarkan aktiviti seperti ini siapa yang akan mempertahankan nilai murni generasi akan datang?,” soal beliau.

Lantaran itu, GPMS tidak akan berkompromi dalam hal yang membabitkan maruah institusi pendidikan dan masa depan pelajar.

“Kami menyeru semua pihak, khususnya KPM agar segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. kita jangan terburu-buru menghukum orang lain. Lihat fakta sebenar disebalik sebuah institusi pendidikan di negara kita. Dari segi etikanya memanglah tidak berapa elok. Tapi dari sudut yang lain mungkin baik untuk institusi berkenaan.

  2. Kadang-kadang dewan sekolah digunakan untuk majlis perkahwinan juga, lepas majlis habis kotor. Harap PIBG tengok-tengok lah.

Comments are closed.