Jeon Eunjin didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Korea Selatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu membuat laporan polis palsu dan tinggal lebih masa di negara ini.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Jeon Eunjin, 55, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja membuat satu laporan polis palsu bersabit laporan di Tanjung Tokong yang menyebabkan Inspektor Mohamad Azwan Mahmud Safbri menggunakan kuasa sebagai penjawat awam membuka kertas siasatan terhadap laporan polis berkenaan sedangkan tertuduh mengetahui kandungan laporan itu adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 12.45 tengah hari di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 28 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan iaitu selama 90 hari dalam pas lawatan sosial yang sah sehingga 10 Februari 2025.

Tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 12.30 tengah hari di lokasi sama dengan pertuduhan pertama pada 30 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin yang mewakili tertuduh memohon agar dikenakan hukuman minimum atas alasan lelaki itu perlu menanggung dua orang anak, bekerja di tapak binaan di Korea dengan pendapatan kira-kira RM15,000 sebulan selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan denda RM2,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi kesalahan membuat laporan palsu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 30 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki Asia Timur joli RM19,000 tapi reka cerita disamun

MalaysiaGazette semalam melaporkan tindakan seorang lelaki Asia Timur membuat laporan polis palsu kononnya disamun dua lelaki di tepi jalan di Tanjung Bungah dekat sini, akhirnya memakan diri selepas pembohongannya terbongkar hasil siasatan pihak polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, lelaki berusia 55 tahun itu telah membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dia disamun sebanyak RM19,000 ketika berjalan menuju ke sebuah bank di kawasan tersebut namun kejadian itu tidak berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast