Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan motosikal ditunggang dengan kereta di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak semalam

TANGKAK – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggang mengubah haluan sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 160, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihak polis menerima laporan kemalangan maut itu melibatkan sebuah motosikal dan kereta Perodua Bezza pada pukul 11.15 pagi.

“Kemalangan melibatkan Perodua Bezza dipandu seorang wanita berusia 39 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja berusia 17 tahun.

“Kemalangan berpunca dari penunggang motosikal yang mengubah haluan hingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tangkak manakala pemandu terbabit tidak cedera.

Tambah Roslan, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun.

Jelasnya, ini termasuk denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

Tambahnya, oang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Khairul 011-12445836 bagi melengkapkan siasatan atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast