KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bukan memangku, sebaliknya menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Ekonomi.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, tidak timbul isu kerajaan tidak mempunyai calon berkelayakan bagi menggantikan jawatan yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli berkenaan.
“Kementerian (Ekonomi) berjalan dengan baik, tak perlu terburu-buru. Kalau ada yang cakap tidak ada orang lain kah untuk dilantik tetapi diambil pemangku, itu tidak betul.
“(Amir Hamzah) menjalankan tugas, kalau ada ahli pembangkang yang mana itu pun mereka tidak faham, susahlah. Menjalankan tugas ini`covering’ sehingga pelantikan baharu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, Putrajaya, di sini hari ini.

Anwar ditanya berkenaan sama ada terdapat pengganti bagi jawatan Kementerian Ekonomi yang mana Amir Hamzah kini menjalankan tugas dan fungsinya.
Pada 27 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Anwar bersetuju dan memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri berhubung pelantikan Amir Hamzah bagi jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 27 Mei lalu, selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti tersebut awal Jun lalu.
Ujar Shamsul Azri, tugas utama Amir Hamzah sebagai Menteri Ekonomi adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai tahun ini.
Bagaimanapun, lantikan Amir Hamzah yang sebelum ini merupakan Menteri Kewangan II dipersoalkan pembangkang kerana memperlihatkan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai calon berkaliber dan berkelayakan lain bagi memenuhi jawatan tersebut. – MalaysiaGazette
















