LONDON – Pemain sayap Anthony Elanga dari Nottingham Forest sah menjadi milik Newcastle United dengan kontrak jangka panjang di sebalik butiran kewangan perjanjian yang tidak didedahkan, kata kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Namun media tempatan melaporkan Newcastle membayar yuran permulaan sebanyak £52 juta (RM299 juta) dengan tambahan £3 juta (RM17.25 juta) dalam bentuk insentif buat pemain sayap Sweden berusia 23 tahun itu.
“Saya amat gembira namun yang paling penting saya sudah bersedia. Saya bersedia untuk menyarung jersi hitam-putih ini dan benar-benar berjuang untuk pasukan ini serta memberikan segala-galanya untuk penyokong yang penuh semangat dan hidup dengan bola sepak.
“Saya menikmati dua tahun yang menakjubkan di Nottingham Forest kerana kelab itu banyak membantu membentuk saya menjadi pemain seperti hari ini tetapi saya benar-benar gembira berada di sini sekarang.
Pemain antarabangsa Sweden itu tiba di Newcastle selepas memainkan peranan penting dalam usaha Forest untuk layak ke saingan Eropah dengan menjaringkan enam gol dan mencipta 11 bantuan gol dalam 38 penampilan EPL.
Dia juga menjaringkan empat gol dalam 22 penampilan bersama skuad senior Sweden dan bakal berganding semula dengan rakan senegara Alexander Isak di St James’ Park. – Agensi
















