Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berucap ketika hadir ke Majlis Perasmian IPRM AI Festival 2025 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, masih belum ada kawal selia yang memuaskan bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.

Bagaimanapun, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, perkara itu  masih di peringkat perbincangan di antara negara-negara luar termasuk Malaysia.

“Kalau kita lihat isu kawal selia di peringkat global belum ada yang memuaskan, perbincangan berjalan.

“Di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), International Telecommunication Union (ITU), memang persoalannya berlegar (tentang) siapakah yang patut menyediakan kawal selia.

“Kalau di peringkat negara, memang Parlimen dan Kementerian Digital perlu ke hadapan tapi setiap kementerian mempunyai peranan untuk meneliti dan menilai penggunaan AI masing-masing,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian IPRM Al Festival 2025, Global PR Al Strategic Communication Insights, YOU & Al: Meet @ Bangsar!” yang berlangsung di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri.

Ketika berucap, beliau berkata, platform di media sosial perlu melakukan inisiatif sendiri untuk melabel video hasil AI bagi mengelakkan penyalahgunaan dan fitnah.

“Ada beberapa media sosial yang telah meletakkan label dihasilkan oleh AI dan platform kita akan pertimbangkan keperluan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian yang akan berkuat kuasa hujung tahun ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan teknologi AI hanya berperanan membantu memudahkan beberapa tugas tetapi tidak bagi kerjaya wartawan dan jurugambar.

“Tugas-tugas tertentu mungkin berubah tapi AI boleh membantu beberapa tugasan tapi tidak boleh menggantikan manusia, wartawan dan jurugambar yang menyaksikan sesuatu kejadian.

“Prinsipnya para wartawan menjadi saksi, kepada kejadian ini prinsip penting,” ujarnya.

Sementara itu Fahmi memaklumkan, sidang kemuncak Asean Ke-47 pada Oktober nanti akan turut menyaksikan pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur yang memperincikan penggunaan dan kawal selia media sosial antara negara-negara Asean.

“Jadi penyalahgunaan AI dalam media sosial termasuk menipu, menyebar fitnah dan sebagainya, negara ASEAN boleh mainkan peranan,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast