Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seramai 10 bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mahu 19 Ketua Cabang parti itu menarik balik kenyataan yang mendesak sembilan ahli Parlimen parti itu digantung.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama-sama melibatkan bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, S Gopalakrisnan; bekas Setiausaha MPN Johor, Abd Hamid Ali serta beberapa bekas Ketua dan Timbalan Ketua Cabang dari Kulai, Kluang, Sembrong, Sri Gading, Segamat, Johor Bahru dan Ledang.

Menerusi kenyataan bersama-sama itu, mereka berkata, tindakan tersebut tidak membantu usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) malah berpotensi membuka ruang untuk dimanipulasi pihak lawan.

“Kami berpandangan semua isu dalaman wajar diselesaikan melalui saluran parti dengan meraikan perbezaan pendapat seperti ditegaskan oleh Setiausaha Agung parti.

“Mengeluarkan kenyataan terbuka sebegini hanya memberi gambaran seolah-olah parti berpecah,” jelas kenyataan itu hari ini.

Mereka turut mempersoalkan sikap tidak konsisten segelintir pimpinan yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang tindakan, termasuk sewaktu kempen pemilihan parti di Sabah.

“Jika sembilan ahli Parlimen (MP) boleh dikenakan tindakan, mengapa tiada tindakan diambil terhadap YB Pasir Gudang dan pimpinan lain termasuk YB Nurul Izzah dalam isu terdahulu? Ini menimbulkan persoalan tentang layanan dua darjat dalam parti,” ujar mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, desakan 19 Ketua Cabang tersebut didakwa lebih bermotifkan kepentingan politik peribadi daripada semangat mempertahankan Perlembagaan parti.

“Kami gesa kenyataan ini ditarik balik demi penyatuan parti. Jangan menyalakan kembali api yang hampir padam ketika kami sudah berlapang dada menerima keputusan pemilihan lalu,” katanya.

Kelmarin, seramai 19 Ketua Cabang Parti PKR di Johor tampil mendesak supaya sembilan ahli Parlimen parti itu yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman digantung keahlian serta-merta.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, tindakan sembilan ahli Parlimen berkenaan bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti, malah memberi imej negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.