Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Seramai 72 peserta dari seluruh dunia bakal menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 Tahun 1447H / 2025M yang dijadual berlangsung selama lapan hari bermula pada 2 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 40 peserta akan bertanding dalam kategori tilawah al-Quran, melibatkan 26 lelaki dan 14 wanita.

“Manakala bagi kategori hafazan al-Quran 30 juzuk, seramai 32 peserta terdiri daripada 20 lelaki dan 12 wanita akan mengambil bahagian,” katanya semasa berucap pada Majlis Pra Pelancaran MTHQA ke-65 di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL, hari ini.

Bertemakan “Membangun Ummah Madani” majlis perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos, 8.55 malam manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah akan disempurnakan dijadual berlangsung pada 9 Ogos pada jam 10 pagi.

Menurut beliau, semua peserta antarabangsa yang terpilih telah melalui sesi saringan secara atas talian yang diadakan pada 19 hingga 23 Mei 2025

“Sesi Saringan ini telah dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang al-Quran, memastikan penilaian yang adil dan telus.

“Malaysia akan diwakili empat peserta, dua dalam kategori tilawah dan dua bagi hafazan.

“Mereka ialah Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah  Mohd Hanif (Kelantan) untuk tilawah, manakala Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Perak) dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi Hafazan.

Dalam pada itu, pemenang bagi setiap kategori akan menerima ganjaran lumayan.

Johan Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000 sumbangan Kerajaan Malaysia, selain hadiah iringan dan sijil.

Naib Johan pula akan menerima RM30,000, manakala tempat ketiga akan menerima RM20,000.

Setiap peserta yang tidak berjaya ke podium utama akan menerima hadiah saguhati sebanyak RM3,000.

“MTHQA kali ini turut menerima tajaan khas daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berupa barangan emas YaPEIM Gold yang akan diberikan kepada para pemenang tempat pertama hingga ketiga dalam kedua-dua kategori tilawah dan hafazan.

“Tajaan ini mencerminkan sokongan kukuh terhadap usaha mengangkat martabat al-Quran dan menyemarakkan budaya penghayatan al-Quran di peringkat antarabangsa.

“Penjurian MTHQA ke-65 akan melibatkan 16 orang hakim berkaliber dari Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan beberapa negara lain.

“Selain pertandingan utama, majlis akan diserikan dengan bacaan qari jemputan, persembahan nasyid, qasidah, tazkirah dan persembahan khas wakil-wakil peserta,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast