Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi bercakap pada sidang media majlis pelantikan Duta Rasmi Gel Amani ketika di Hotel Concorde Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2025.

SHAH ALAM – Kejatuhan ranking hoki negara baru-baru ini adalah sesuatu yang sudah dijangka apabila ia perlu mengambil kira fasa perubahan pasukan yang sedang berlaku.

Legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawi berkata, ini kerana Speedy Tigers di bawah jurulatih Sarjit Singh ketika ini dalam proses pembentukan bagi menghadapi Sukan Olimpik 2028 Los Angeles.

Beliau yang juga bekas pengurus Malaysia sehingga tahun lalu bagaimanapun yakin Malaysia akan kembali bangkit untuk memperbaiki ranking selepas mencapai fasa matang selepas setahun dibentuk.

“Ketika ini jatuh sedikit tetapi bagi saya itu sudah dijangka kerana skuad hoki kebangsaan ini dalam satu fasa membina pasukan yang baharu untuk Sukan Olimpik 2028.

“Jadi memang kita jangkakan dalam satu fasa itu ia akan menurun sedikit tetapi kita harap tahun depan selepas satu tahun lebih pasukan baharu ini dibentuk, kita ingin lihat sedikit peningkatan drastik kerana tahun depan kita ada kelayakan Piala Dunia dan kita juga ingin lihat layak ke Los Angeles.

“Sepatutnya fasa kejatuhan ini sekejap sahaja kerana dalam fasa pembinaan yang baharu akan jatuh sikit dan kembali naik kedudukan bila sudah matang,” katanya.

Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi selepas pelantikannya sebagai Duta Rasmi Gel Amani ketika di Hotel Concorde Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2025.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengumuman sebagai duta rasmi gel Amani, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Amanilife, Leo Adi Putra.

Bulan lalu, dua keputusan negatif dalam dua perlawanan pertama Piala Negara-Negara FIH 2025 akhirnya memakan diri apabila skuad hoki lelaki kebangsaan jatuh ke ranking 15 dunia.

Namun berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Speedy Tigers hari ini di ranking 12 dunia dengan pungutan mata 1940.25 di belakang India di tangga kelapan dunia.

Kejatuhan ranking ke-15 sebelum ini adalah kedudukan terendah Speedy Tigers sejak 2008.

Malaysia sebelum ini pernah menghuni kelompok 10 ranking terbaik dunia dua tahun lalu ketika di bawah kendalian A. Arul Selvaraj.

Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menunjukkan produk Gel Amani selepas pelantikannya sebagai Duta Rasmi ketika di Hotel Concorde Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2025.

Mengulas lanjut, Mirnawan berharap anak buah Sarjit diberi masa untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan antarabangsa akan datang.

Jelasnya, ini kerana sukan hoki kini mengikuti jejak bola sepak yang mengambil kaedah mengumpul mata pada setiap perlawanan bagi menentukan ranking dunia.

“Kita beri mereka masa yang lebih untuk perbaiki kedudukan dunia dan sekarang ini setiap perlawanan akan menentukan juga kedudukan kerana macam bola sepak ada kutipan mata.

“Kalau perlawanan akan datang kita mencatat keputusan positif menentang pasukan lebih tinggi ranking, ia akan bantu peningkat ranking kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast