Zailani memeriksa kelengkapan menyelam selepas Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Antara Agensi Bagi Operasi Menaikkan Bangkai Helikopter di Gelang Patah, Iskandar Puteri hari ini.

 

 

ISKANDAR PUTERI – Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, minggu lalu dan menyebabkan lima cedera dijangka dinaikkan esok.

Perkara itu dipercayai diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Tindakan antara Agensi bagi Operasi Menaikkan Bangkai Pesawat jenis AS355N itu yang diadakan di Markas Operasi Bersepadu di lokasi nahas, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama-sama oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Johor, Senior Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah dan Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.

Selepas mesyuarat penyelarasan selesai, Muhd Zailani dan Ahmad Lokman serta pasukan melakukan tinjuan di lokasi helikopter terhempas dengan menaiki Bot PDRM RH71, bagi menilai tindakan yang akan diambil petugas penyelamat.

Tugas esok akan dilaksanakan pasukan penyelam TLDM yang sudah membuat penandaan lokasi bangkai helikopter berkenaan, dibantu penyelam PPM Wilayah Dua Johor.

Turut kelihatan, pasukan penyelam TLDM memeriksa peralatan selaman dan dijangka menyelam bagi memantau dan membuat persiapan akhir menjelang operasi menaikkan bangkai helikopter itu esok.

Terdahulu, seramai 25 orang terbabit dalam mesyuarat penyelarasan berkenaan termasuk dua pegawai Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Putrajaya; Pasukan Penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor.

Terbabit sama, Lembaga Pelabuhan Johor, pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), doktor dan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Khamis lalu, helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG dinaiki lima kru dilaporkan terhempas ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailanda-Singapura (MITSATOM) 2025.

Insiden itu menyebabkan seorang kru, Konstabel RG Devendran dari Balai Polis Tanjung Kupang dilaporkan masih kritikal.

Koperal Adeline Liu Yan Sin dari PGU pula dilaporkan kritikal sejurus kemalangan itu beransur pulih, manakala juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera, namun dilaporkan stabil.

Semua mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast