MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemukan meninggal dunia diperayai lemas dalam keadaan tertiarap dan badannya dibedung di atas tilam sebuah taska di Padang Temu, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kejadian tragis menimpa bayi berkenaan disedari pengasuh taska berkenaan selepas menidurkan bayi berkenaan sejam sebelum itu.
Menurut sumber, bagaimanapun ketika hendak memantau keadaan bayi pada jam 5 petang, pengasuh yang menjaganya secara bergilir dengan pengasuh lain mendapati bayi tersebut dalam keadaan tertiarap dan mukanya kebiru-biruan.
“Pengasuh kemudian terus membawa bayi tersebut kepada pengusaha taska sebelum dikejarkan ke Klinik Utama Ujong Pasir bagi pemeriksaan lanjut.
“Doktor kemudian cuba memberi bantuan penafasan kecemasan (CPR) selama 30 minit sementara menunggu bantuan ambulans tiba,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di Zon Merah Hospital Melaka kira-kira jam 6 petang, pegawai perubatan sekali lagi cuba memberikan CPR selama 30 minit namun bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan ke atas badan bayi berkenaaan mendapati tiada sebarang kesan perbuatan unsur jenayah sebelum pihak hospital membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette
















