ISKANDAR PUTERI – Selepas satu minggu kejadian helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah kini proses menaikkan bangkai helikopter berjaya dibuat hari ini.
Operasi itu bermula seawal pukul 8 pagi menyaksikan sebuah kapal kren dan dua unit bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) berada di lokasi helikopter terhempas bagi menaikkan bangkai helikopter.
Kemudian bangkai helikopter terbabit diapungkan pada kira-kira pukul 11 pagi sebelum dinaikkan di atas kapal kren kira-kira 15 minit kemudian.
Proses itu berjalan lancar dan keaadaan cuaca yang baik membantu usaha menaikkan bangkai helikopter melibatkan pelbagai anggota dan pasukan daripada pelbagai agensi.
Antaranya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), PPM, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berada di Markas Operasi Sungai Pulai.
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi pada Khamis lalu, helikopter jenis AS355N nombor pendaftaran 9M-PHG terhempas ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Insiden itu menyebabkan dua kru, Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R G Devendran dilaporkan kritikal.
Sementara itu juruterbang Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















