Seorang remaja maut manakala adiknya parah selepas terlibat kemalangan di Jalan Parit Lanjut, Bukit Pasir, Pagoh, Muar, hari ini.

MUAR – Seorang remaja maut manakala adiknya cedera parah selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Parit Lanjut, Bukit Pasir, Pagoh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada orang awam kira-kira pada pukul 12 tengah hari.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang warga emas lelaki warga tempatan berusia 61 tahun sedang memandu sebuah lori dari arah Parit Naib Kadir menuju ke Parit Lanjut.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori telah berhenti di persimpangan dan setelah memastikan lalu lintas selamat, pemandu lori membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semasa membelok lori berkenaan datang motosikal ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan dibonceng adiknya berusia enam tahun yang datang dari belakang.

Jelas beliau, motosikal tersebut kemudian melanggar lori tersebut dan menyebabkan penunggang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Adiknya pula kata Raiz Mukhliz, cedera parah di kepala serta muka sedang dirawat di zon merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sebanyak RM50,000.

Pihaknya menasihati orang ramai untuk sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati ketika melalui kawasan persimpangan jalan.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Khairun Izham Nor Yusry 013-9121508.

Mereka juga boleh tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast