PUTRAJAYA – Kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sebarang pelantikan duta mahu perwakilan asing termasuk Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sebarang keputusan dibuat perlu dibuat dengan mengambilkira kepentingan kedua-dua negara termasuk hubungan dua hala antara AS dan Malaysia.
“Kita ikut proses, masih terlalu awal, kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan. Dalam masa sama menjaga hubungan baik di antara Malaysia dengan AS,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14 di sini hari ini.
Isnin lalu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin berkata, latar belakang Adams didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik bersifat memecahbelahkan dilihat bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak, seperti yang termaktub di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak pencalonan mana-mana diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar negara serta sensitiviti tempatan. – MalaysiaGazette
















