CAMERON HIGHLANDS – Polis menahan seorang remaja susulan penemuan mayat bayi lelaki baru lahir berhampiran tangki air di Kampung Melayu Desa Kayangan dekat Brinchang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, kejadian itu terbongkar selepas bapa suspek terlihat kesan tanah terusik dan membawa kepada penemuan mayat bayi yang dibungkus dengan kain putih kira-kira jam 10 pagi semalam.
Susulan penahanan lelaki itu, beberapa peralatan seperti cangkul dan penyodok yang disyaki digunakan untuk mengorek tanah untuk menanam bayi turut dirampas.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan kakak tirinya, 21 tahun sehingga berlakunya kehamilan.
“Suspek juga mengaku membawa bayi yang dilahirkan pada 16 Julai lalu ke atas bukit dan menanamnya bersama uri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi. – MalaysiaGazette
















