KUALA LUMPUR – Bekas ahli politik dilantik sebagai hakim bukan perkara asing, kata Pengerusi Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Jelasnya, apa yang penting adalah cara mereka membuat penghakiman ketika memegang jawatan tersebut.
Menurut Zainul Rijal, ada pihak yang bertanya kepada beliau mengenai Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket Barisan Nasional selain pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik.
Katanya, berdasarkan rekod, memang ada bekas ahli politik yang pernah dilantik sebagai hakim.
“Bolehkah beliau jadi Hakim? Pada pandangan saya hal beliau berkecimpung dalam politik adalah sebelum beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.
“Setelah menjawat jawatan tersebut beliau tidak aktif lagi menjadi ahli politik.
“Sebenarnya ada juga bekas calon parti pembangkang seperti Pas yang selepas itu dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman, beliau diangkat menjadi hakim mahkamah tinggi dan kemudiannya Hakim Mahkamah Rayuan sebelum bersara. Saya tak pasti pula bekas calon pilihanraya daripada parti lain.
“Apa yang penting ialah kita analisa penghakiman mereka semasa menjadi hakim bukan menghakimi mereka sebelum menjadi hakim.,” katanya menerusi kenyataan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara baharu menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.
Malah Zainul percaya Wan Ahmad Farid mampu menggalas tugas dengan adil dan berwibawa bagi menerajui institusi kehakiman negara.
“Kalau kita teliti penghakiman bakal Ketua Hakim ini, saya percaya beliau adalah seorang yang adil berwibawa dan berhikmah walaupun beliau belum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Majlis Raja-Raja yang bersidang turut berkenan melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu.
Dalam masa yang sama, Majlis Raja-Raja turut berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan pemegang jawatan itu yang bakal bersara.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berkenan melantik ketiga-tiganya ke jawatan hakim mahkamah atasan. – MalaysiaGazette
















