Paus Leo XIV

VATICAN CITY – Paus Leo XIV menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerusi telefon pada Jumaat bagi menggesa supaya rundingan dan gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.

“Pagi ini, di kediamannya di Castel Gandolfo, Paus Leo XIV telah bercakap melalui telefon dengan Benjamin Netanyahu susulan serangan tentera oleh tentera Israel semalam yang merosakkan Gereja Katolik Holy Family di Gaza serta mengorbankan tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain, termasuk yang parah.

“Semasa perbualan itu, Paus sekali lagi merayu agar usaha baharu dilakukan untuk memulakan rundingan, menghentikan perang dan melaksanakan gencatan senjata,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media.

Beliau turut mengulangi desakan agar rumah-rumah ibadat khususnya untuk penganut agama dan semua orang di Palestin dan Israel, dilindungi.

Paus Leo juga sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang tragik yang dihadapi oleh penduduk Gaza, di mana kanak-kanak, warga tua dan orang sakit sedang menanggung penderitaan yang amat menyayat hati.

Gereja Holy Family, satu-satunya gereja Katolik di Gaza telah terkena serangan Israel pada pagi Khamis, mengakibatkan tiga kematian dan sepuluh kecederaan, termasuk Pader Gabriel Romanelli.

Dalam satu kenyataan, Patriarkat Latin di Baitulmaqdis menyeru para pemimpin “untuk bersuara dan melakukan segala yang perlu bagi menghentikan tragedi yang tidak dapat diterima sama ada dari sisi kemanusiaan atau pun moral. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast