MUAR – Pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu akhirnya tampil menyerah diri di Balai Polis Muar hari ini selepas lari ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis mempercayai bahawa kehilangan tersebut telah direka.
“Makluman Orang Hilang (OH) telah dijumpai dan siasatan kerana memberi maklumat palsu dan bersubahat melakukan kesalahan. Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung laporan polis palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam satu insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi.
“Siasatan mendedahkan bahawa mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga sebelum melarikan diri ke negara jiran.
“Adik mangsa mengesahkan dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengaburi siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz, kedua-dua individu terbabit telah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihak polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) dari pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam dan
Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Polis menegaskan tindakan membuat laporan palsu merupakan satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan tugasan serta sumber kepolisan yang seharusnya ditumpukan kepada kes-kes sebenar dan kecemasan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan sistem laporan polis untuk tujuan peribadi atau jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.
Terdahulu, pada 15 Julai 2025, adik mangsa, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, telah membuat laporan polis di Balai Polis Lenga berkenaan kehilangan abangnya.
Mangsa dikatakan hilang selepas memaklumkan dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan dan satu kertas siasatan orang hilang telah dibuka.
Seramai 77 pegawai dan anggota telah melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) selama empat hari merangkumi pencarian melalui darat, air dan udara menggunakan pelbagai aset dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.- MalaysiaGazette

















Harap musibat ni yg mesyusahkan semua org dihumban kedalam penjara