SEPANG, 20 Julai – Sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing di semua pintu masuk negara telah dipulihkan sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti biasa mulai hari ini.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini tiada unsur sabotaj atau serangan siber yang menjadi punca kepada masalah sistem tersebut.
Sebaliknya, isu itu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.
“Serangan siber kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada dalam sidang media di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau turut memberi jaminan langkah-langkah keselamatan siber dan pemantauan sistem akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran operasi di pintu masuk negara terutamanya membabitkan pelawat antarabangsa.
Shuhaily juga memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem berkenaan dan akan berusaha memastikan perkara itu tidak berulang lagi.
Semalam dilaporkan gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan dan menjadi punca sistem automate di beberapa pintu masuk utama negara terjejas.
Gangguan itu turut mengakibatkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama.
Antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Sepang, serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor. – MalaysiaGazette
Gangguan teknikal pada sistem autogate di pintu masuk utama negara – AKPS
















