Anggota bomba mengusung mayat seorang lelaki selepas pacuan empat roda dinaiki kemalangan di Jalan Yong Peng-Kluang, Kluang semalam.

KLUANG – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjatuh dalam gaung di Kilometer 56 Jalan Yong Peng-Kluang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 11.35 pagi ketika Ong Yong Seng, 53, bersama-sama rakannya Chee Keng Yang, 53, menaiki kenderaan pacuan jenis Toyota Hilux empat roda dari Paloh ke Kluang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu Chee Keng Yang dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu di bahu jalan lalu terjatuh dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter dari atas jalan.

“Akibat daripada kejadian itu, Ong Yong Seng yang duduk di kerusi penumpang hadapan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.

“Chee Keng pula yang mengalami kecederaan di bahagian dada dan masih mendapatkan rawatan sebuah hospital swasta di Kluang,” katanya melalui kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan I Shamsul Amri berkata, setibanya di tempat kejadian mangsa sudah meninggal dunia di tempat duduk penumpang.

“Pemandunya dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam. Bomba mengeluarkan mayat dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast