Marcus Rashford. Foto Eurosport.

LONDON – Gergasi La Liga, Barcelona telah melengkapkan semua dokumen untuk perjanjian membawa masuk penyerang ‘buangan’ Manchester United Marcus Rashford secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli secara tetap.

Bintang England itu tiba di Barcelona awal pagi tadi ketika rundingan mencapai kata sepakat berikutan kesanggupan Rashford untuk mengurangkan gajinya daripada £315,000 (RM1.79 juta) seminggu.

Difahamkan Barça akan membayar €14 juta secara kasar untuk menampung gaji serta bonus yang berkaitan dengan penampilan namun United tidak akan menanggung gajinya.

Rashford juga bersetuju untuk potongan gaji sebanyak 15 peratus selain terdapat pilihan pembelian tetap sebanyak €30 juta pada Jun 2026.

Januari lalu, Rashford hampir menyertai Barcelona tetapi perpindahan itu tergantung selepas kelab itu gagal menjual Ansu Fati yang akhirnya berpindah ke AS Monaco.

Sementara itu, pemain berusia 27 tahun itu dijadualkan menjalani pemeriksaan perubatan hari ini, sebelum menjalani sesi latihan pertamanya bersama rakan sepasukan baharu esok.

Menurut laporan media Sepanyol, Rashford akan ditawarkan dua nombor jersi dengan nombor 14, 19 dan 22 kini tersedia dalam skuad utama.

Nombor 14 memiliki nilai sentimental tinggi di Barcelona, pernah dipakai oleh pemain legenda Johan Cruyff dan Thierry Henry, yang dikatakan menjadi idola Rashford ketika kecil.

Nombor 19 pula baru sahaja dikosongkan oleh Yamal yang kini memakai jersi bernombor 10 di mana sebelum ini ia pernah menjadi milik Lionel Messi pada awal kariernya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast