KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mewajibkan ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebagai langkah pencegahan bagi meningkatkan akauntabiliti masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi pengisytiharkan harta, masyarakat dapat menilai setiap ketua organisasi tidak akan sewenang-wenangnya meningkatkan kekayaan menerusi kedudukan mereka.
“Apabila semua CEO ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti,” katanya selepas menerima sebanyak 13 Borang Perisytiharan Harta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Syarikat Operasi syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Boustead Holdings Berhad (BHB) di pejabatnya di sini semalam.
Penyerahan borang itu dibuat oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Jabatan Integriti dan Governans BHB, Rosman Johar Abdullah.
Turut hadir Penolong Naib Presiden Jabatan Integriti dan Governans BHB, Wan Azlee Wan Mohd Ghazali dan Pegawai Khas Kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, P/PKPj Mohd Fadzil Md Amin.
Sementara itu, Rosman berkata, penyerahan borang perisytiharan harta adalah selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan CEO di GLC dan GLIC untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Beliau berkata, tindakan kerajaan perlu disokong semua pihak bagi memastikan amalan rasuah bukan sahaja mesti dibanteras bahkan perlu dicegah daripada awal sebelum ia berlaku.
Sementara itu, semalam juga Azam mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Negara,

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Dalam hantaran di laman Facebook PDRM berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala kedua-dua agensi antaranya pelaksanaan Joint Action Task Force – perkongsian maklumat operasi dan penyelarasan siasatan bersama bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
Kunjungan itu merupakan yang pertama Azam ke atas Mohd Khalid yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 pada 20 Jun lalu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain. – MalaysiaGazette
















