Pemandangan udara yang terjejas akibat jerebu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Sepang. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2025

 

JAKARTA – Wilayah barat Indonesia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi terhadap kebakaran hutan dan tanah, dengan wilayah Riau melaporkan jumlah titik panas tertinggi.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia berkata, pada Isnin kebakaran hutan dan tanah merupakan jenis bencana yang dominan di negara Asia Tenggara itu sejak awal Julai.

Daripada 42 bencana yang direkodkan setakat bulan ini, 33 adalah kebakaran hutan dan tanah.

Kebakaran telah merebak secara meluas ke seluruh Pulau Sumatera, menjejaskan wilayah termasuk Aceh, Sumatera Utara, Riau, Sumatera Barat, Jambi, dan Sumatera Selatan.

Di Riau, wilayah yang paling terdedah dan sedang terbakar adalah Kampar, Siak, Bengkalis, dan Rokan Hilir, dengan lebih 100 hektar tanah telah hangus.

“Keadaan cuaca panas dan kering telah meningkatkan risiko, terutamanya apabila hujan menurun dengan ketara di sebahagian besar Sumatera,” kata Abdul Muhari, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB.

Titik panas juga telah dikesan di Kalimantan Tengah, manakala kebakaran telah dilaporkan di tapak pelupusan sisa akhir di Jawa Tengah dan Jawa Timur.

Secara berasingan, Pejabat Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik di bandar Pekanbaru Riau melaporkan asap daripada kebakaran hutan di wilayah itu telah bergerak ke Malaysia.

Pemantauan satelit menunjukkan asap melintasi Selat Melaka dan sampai ke bahagian Semenanjung Malaysia.

Agensi itu memberi amaran jumlah titik panas boleh terus meningkat jika keadaan kering berterusan dan orang ramai gagal mematuhi larangan pembakaran tanah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast