JOHOR BAHRU – Perkhidmatan bas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama di bandar raya ini untuk ke Singapura kembali normal dan beroperasi hari ini selepas lebih 100 pemandu bas mogok semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkembangan itu adalah hasil perbincangan antara pemandu bas dan syarikat bas terbabit.
“Banyak faktor yang menyumbang kepada pelancaran mogok semalam antaranya berkenaan gaji. Pada masa ini perkara ini masih belum selesai dan dalam peringkat perbincangan antara pemandu bas dan syarikat pengusaha bas.
“Bagi menyelesaikan masalah ini semalam kami dan pihak Land Transport Authority (LTA) Singapura turun sendiri di BSI melihat situasi semalam untuk berbincang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan bas terjejas apabila kira-kira 100 pemandu bas ulang alik ke republik berkenaan mogok bermula pukul 5 pagi semalam.
Perkara itu tular dalam media sosial berkenaan keluhan pekerja Malaysia di Singapura yang terjejas lewat memulakan kerja apabila pemandu bas ke Singapura mogok susulan isu gaji.
Barisan panjang didakwa bermula dari lorong pemeriksaan passport di BSI di tingkat atas hingga ke platform bas menyebabkan ribuan terkandas.
Rakaman video pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki beramai-ramai di Tambak Johor untuk untuk ke Kompleks Kastam dan Imigresen Woodlands (Woodlands Checkpoint) di republik itu.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, pihaknya mencadangkan untuk operator bas Singapura di BSI memulakan masa operasi bas lebih awal iaitu pukul 4.30 pagi, berbanding jadual kini antara 5 hingga ke 5.30 pagi setiap hari.
Jelas beliau, pihaknya juga mencadangkan mereka menambah bilangan frekuensi atau trip berikutan bilangan penumpang bas yang sentiasa meningkat pada setiap bulan.
“Ini berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), purata pertambahan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas berkenaan ialah 1,000 hingga 3,000 orang setiap bulan,” katanya.
Cadangan tersebut katanya, akan diperhalusi LTA Singapura memandangkan operasi Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura bermula pukul 5.35 pagi.
“Pihak kita bagi tempoh sebulan kepada LTA Singapura untuk memperhalusi cadangan ini. Kalau kita di sini memulakan Operasi lebih awal tetapi MRT mereka tidak beroperasi lebih awal, akan berlaku kesesakan di MRT Singapura nanti.
“Apabila pertambahan penumpang sehingga 3,000 sebulan seperti yang direkodkan ketika ini, kita memerlukan penambahan 20 trip bas sehari,” katanya.
Beliau berharap, masalah tersebut akan dapat diatasi kerana kedua-dua pihak mempunyai kepentingan dalam hal itu.- MalaysiaGazette
















