Orang ramai menonton secara langsung di media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berada di landasan kukuh dan meyakinkan di sebalik segala keresahan dan kekangan yang berlaku, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan akan terus menambah baik ikhtiar menerusi Belanjawan MADANI keempat pada Oktober ini sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Anwar berkata prestasi ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, bukan sahaja diakui di dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Berdasarkan unjuran awal, suku kedua bakal mencecah 4.5 peratus. Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.

“Lebih penting, ringgit turut mencerminkan keyakinan yang kian pulih. Setakat pertengahan tahun ini, ringgit mengukuh lebih 5.0 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), iaitu terkini mencatat paras RM4.23,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama termasuk RTM, Bernama serta platform media sosial seperti Facebook Live.

Beliau berkata prestasi tersebut meletakkan ringgit sebagai antara lima mata wang terbaik Asia tahun ini.

Setakat 11.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2230/2305 berbanding dolar AS daripada 4.2300/2370 ketika ditutup semalam.

Anwar berkata segala pencapaian data dan angka ini, seberapa membanggakan sekalipun, tidak membawa makna sekiranya rakyat di bawah masih bergelut dengan kos sara hidup.

“Pertumbuhan ekonomi meyakinkan membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan,” kata beliau. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast