OSAKA – Kolej UNITI Port Dickson mencipta sejarah tersendiri apabila melancarkan lima pakej pelancongan pendidikan (edutourism) halal bertaraf antarabangsa sempena Osaka World Expo 2025 di Jepun.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa di Pavilion Malaysia, sekaligus mengangkat nama institusi pendidikan tinggi itu ke pentas global.
Menurut beliau, pelancaran itu merupakan titik tolak kepada pencapaian besar Kolej UNITI Port Dickson selepas secara rasmi dilantik sebagai Rakan Sepadan Program Edutourism oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini.
“Kami amat berbesar hati apabila kesemua lima pakej edutourism halal yang dibangunkan telah mendapat kelulusan daripada pihak KPT. Ini membuktikan komitmen kami dalam memperkasakan pelancongan pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI atau UNITI Halal Centre (UHAC), Muhamad Elyas Harun.
Tambah Amir Hamzah lagi, Jepun dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana negara tersebut menunjukkan permintaan tinggi terhadap pelancongan pendidikan yang menepati prinsip halal.
“Langkah ini juga dilihat sebagai simbolik keterbukaan dan kesediaan Kolej UNITI Port Dickson dalam menyahut cabaran kerajaan memperkenalkan program edutourism yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Komitmen ini turut seiring dengan usaha KPT melalui Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, yang giat memperkasa ekosistem edutourism sebagai salah satu strategi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang menarik kepada pelajar dan pelancong global,” katanya lagi.
Lima pakej edutourism halal yang diluluskan oleh KPT ialah
Halal Hospitality Unveiled: Culinary Experience to Cultural Values,
Halal Bites & Sights: A Malaysian Adventure, Halal Livestock: From Farm to Fork, Halal Biz: Go Global, Grow Big! dan
Adat Perpatih Heritage Journey: Exploring Negeri Sembilan’s Cultural Legacy.
Kesemua pakej menyasarkan bukan sahaja pelajar antarabangsa, malah pelancong luar negara yang ingin memahami secara mendalam tentang keunikan budaya Malaysia dan industri halal tanah air.
Jelas Amir Hamzah, program Halal Edutourism tersebut akan dilaksanakan oleh pasukan UHAC yang terdiri daripada pakar-pakar pensijilan halal negara yang berpengalaman dalam pelbagai industri tempatan dan antarabangsa.
Muhamad Elyas pula memberitahu, Jepun mempunyai potensi besar sebagai pasaran kerana peningkatan kesedaran terhadap keperluan produk dan perkhidmatan halal dalam kalangan rakyatnya.
“Permintaan terhadap pelancongan halal semakin meningkat, dan Jepun menjadi destinasi strategik untuk mempromosikan nilai-nilai ini melalui pendekatan pendidikan dan budaya,” katanya yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penyelarasan program berkenaan.

Beliau menegaskan, kejayaan program ini amat bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri halal dan rakan strategik antarabangsa.
Osaka World Expo 2025, yang bertemakan “Designing Future Society for Our Lives”, merupakan acara mega bertaraf dunia yang menghimpunkan lebih 150 negara dari seluruh dunia.
Ia menjadi platform utama untuk mempamerkan inovasi, budaya, teknologi dan pendidikan serta membuka ruang kerjasama rentas negara di pelbagai peringkat.
Maklumat lanjut mengenai program edutourism halal Kolej UNITI Port Dickson boleh diperolehi melalui laman web rasmi UHAC di https://unitihalalcentre.com/edutourism. – MalaysiaGazette
















