Gambar yang menunjukkan kawasan kemalangan pesawat penumpang Antonov AN-24 passenger di bandar Tynda, timur jauh Rusia. Foto: AFP

MOSCOW – Sebuah pesawat membawa hampir 50 orang terhempas di kawasan terpencil di wilayah Amur, timur Rusia, dengan tanda-tanda tiada yang selamat, kata pihak berkuasa.

Pesawat Antonov-24 kendalian Angara Airlines, yang menuju ke bandar Tynda dari Blagoveshchensk hilang dari radar kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan.

Kru sebuah helikopter penyelamat melihat badan pesawat terbakar di jurang gunung berhutan kira-kira 16 kilometer dari Tynda.

Rakaman video yang disiarkan para penyiasat Rusia menunjukkan asap daripada bangkai pesawat naik ke udara di kawasan hutan tersebut.

Para anggota penyelamat dalam helikopter tersebut melihat tiada mangsa yang selamat, penyelamat tempatan berkata, agensi pertahanan awam rantau Amur menyatakan ia telah menghantar pasukan ke lokasi.

“Kini 25 orang dan lima unit peralatan telah dihantar dan empat pesawat dengan kru bersiap sedia,” katanya.

Bentuk rupa bumi kawasan kemalangan itu sukar diakses, kata seorang anggota penyelamat kepada agensi berita TASS.

“Operasi pencarian sedang dilakukan di udara,” katanya.

Angara Airlines, syarikat penerbangan serantau yang berpangkalan di bandar Irkutsk masih belum mengulas mengenai kemalangan tersebut.

Pesawat tersebut membawa 43 penumpang dan enam anak kapal, menurut Gabenor Vassily Orlov..

Antara penumpangnya ialah lima kanak-kanak, katanya.

Agensi berita TASS yang memetik perkhidmatan kecemasan berkata, pesawat tersebut membawa 40 penumpang dan enam anak kapal.

Ia terhempas ketika cuba melakukan cubaan pendaratan kedua di lapangan terbang Tynda, kata Pejabat Pegawai Pendakwa Raya Pengangkutan Timur Jauh Rusia.

“Ketika menghampiri lapangan terbang Tynda, pesawat tersebut  membatalkan pendaratan dan melakukan percubaan pendaratan kedua, selepas itu hubungan terputus,” katanya.

“Situasi itu sedang disiasat,” katanya.

Beliau tidak membuat sebarang ulasan punca kemalangan.

TASS melaporkan pesawat itu dibina hampir 50 tahum lalu.

“Pada 2021, sijil kelayakan penerbangan disambung sehingga 2036,” lapornya yang memetik seorang sumber dalam perkhidmatan penerbangan.

AFP tidak dapat mengesahkan maklumat itu.

Pesawat kipas An-24 memulakan operasi pada 1959. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast