Foto: Royal Thai Army
KUALA LUMPUR – Malaysia  menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan untuk melaksanakan gencatan senjata berikutan ketegangan yang berladu di sempadan Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya, Hun Manet dari Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Kerajaan Thailand, Phumtham Wechayachai bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
“Dalam perbualan tersebut, atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, saya merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

Menurut Anwar, Malaysia bersedia untuk membantu dan memudahkan proses ini atas semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.

Beliau yakin kekuatan ASEAN terletak pada solidaritinya, dan keamanan mesti sentiasa menjadi pilihan kolektif kita yang tidak berbelah-bahagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast