JASIN – Seorang suri rumah direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini, kerana disyaki mendera anak tirinya berusia 8 tahun di rumahnya di Merlimau di sini, Rabu lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bermula hari ini sehingga 28 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar selepas saudara suspek dimaklumkan oleh ahli keluarganya yang lain mengenai perbuatan wanita berkenaan terhadap anak tirinya, Rabu lalu.
“Suspek dikatakan telah memukul dan mengurung kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun itu di dalam bilik pada petang Rabu lalu ketika ayah kandung mangsa keluar bekerja sebagai pemandu lori.
“Badan mangsa juga dikatakan mempunyai kesan luka lama dan merayu kepada suspek supaya tidak diperlakukan begitu namun tidak diendahkan suri rumah berkenaan,” katanya.
Tambahnya bertindak hasil laporan polis, sepasukan anggota dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek semalam untuk permohonan reman hari ini.
“Pol 59 juta telah dikeluarkan kepada mangsa untuk pemeriksaan di hospital,” katanya. – MalaysiaGazette.
















