[ARKIB] Rakyat Palestin berkumpul untuk menerima hidangan panas di pusat pengedaran makanan di kem pelarian Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, Palestin. Foto AFP, 30 APRIL 2025.

TEL AVIV/NEW YORK – Walaupun amaran mengenai krisis kebuluran yang boleh meragut nyawa berulang kali dikeluarkan namun hanya sedikit sahaja bantuan yang berjaya disalurkan ke Semenanjung Gaza.

Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pertubuhan itu mengesahkan pasukannya hanya berjaya membawa masuk bantuan terutamanya tepung melalui dua lintasan sempadan pada Rabu yang dihuni dua juta penduduk yang sedang kebuluran.

Jurucakap PBB, Farhan Haq, menegaskan di New York bahawa jumlah bantuan yang dibenarkan masuk adalah tidak mencukupi.

Rakan kongsi PBB di Gaza serta Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan bahawa “bantuan yang berjaya dibawa masuk ke Gaza sepanjang dua bulan lalu jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan asas bagi kelangsungan hidup.”

Beliau berkata Israel perlu membenarkan lebih banyak penghantaran bantuan dilakukan.

Jurucakap PBB itu turut menolak dakwaan Israel bahawa PBB enggan mengagihkan makanan.

“Kami tidak cuba menghalang semua orang ini, termasuk kakitangan kami sendiri, daripada mendapatkan makanan. Mereka tersekat disebabkan pelbagai halangan, termasuk yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel,” kata Haq.

Beliau menambah bahawa proses kelulusan pelbagai peringkat oleh tentera Israel amat menyusahkan, menyebabkan kelewatan yang ketara sehingga barangan hanya boleh bergerak selepas hari gelap.

Terdahulu, Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa tentera Israel telah menjemput puluhan wartawan antarabangsa ke lintasan sempadan Kerem Shalom untuk menunjukkan bagaimana ratusan trak membawa barangan bantuan memasuki Gaza. Namun, laporan menyebut bahawa barangan tersebut hanya tersadai dan tidak diagihkan.

Kementerian itu menuduh PBB enggan mengagihkan bantuan.

Menurut pertubuhan bantuan, Semenanjung Gaza kini berada di ambang “kebuluran.” Setiap hari tanpa penghantaran makanan yang mencukupi hanya memburukkan lagi keadaan, kata jurucakap PBB Haq pada Khamis. “Kami telah menyuarakan perkara ini selama berbulan-bulan, dan kini kami berada pada tahap di mana orang ramai sedang mati.” -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast