Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi.-Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pihak yang kalah susulan Himpunan Turun Anwar esok ialah dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, menurutnya, himpunan itu tidak akan berjaya membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.

Sebaliknya kata beliau, Dr. Mahathir dan Muhyiddin perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Ke-16 (PRU-16) untuk mellihat sama ada Anwar berjaya ditumbangkan, iaitu tempoh masa yang disifatkan terlalu lambat untuk kedua-dua bekas pemimpin negara berkenaan.

Sementara itu, Mohd Puad turut menyifatkan himpunan esok lebih membuatkan pemimpin Pas berdebar-debar berbanding Anwar.

Dakwa beliau, debaran itu bukan disebabkan sama ada himpunan itu mampu membuatkan Anwar meletakkan jawatan atau sebaliknya, tetapi sama ada sasaran kehadiran 500,000 orang mampu dicapai.

“90% kehadiran bergantung kepada ahli PAS. Maka PAS lebih fokus kepada jumlah yang hadir. Maruah PAS terjejas jika jumlah kehadiran 500 ribu tidak tercapai.

“Anwar pasti tidak berdebar debar. Dia pernah buat demonstrasi “Undur Mahathir” tahun 1998. Tun M tidak turun pun. Hatta PRU 1999 dan PRU 2004 BN tetap menang majoriti dua pertiga,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Puad berkata, himpunan esok akan lebih berkesan sekiranya ahli dan penyokong UMNO turut serta.

Sebagai bukti, dakwa beliau, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 terpaksa membatalkan ratifikasi ICERD apabila penyokong Pas dan UMNO bergabung dalam himpunan raksasa pada 2018.

Pas merancang mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang akan diadakan di ibu negara esok, dengan sasaran penyertaan seramai 300,000 hingga 500,000 orang dari seluruh negara.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan itu sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.