NEW YORK – Legenda gusti, Hulk Hogan meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat serangan jantung.
Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh World Wrestling Entertainment (WWE) di platform media sosial X.
Badan dunia sukan gusti itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta peminat mendiang.
“WWE dukacita memaklumkan ahli dewan kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.
“Sebagai antara figura paling ikonik dalam budaya pop, Hogan memainkan peranan penting dalam membawa WWE ke peringkat antarabangsa pada era 1980-an.
Menurut laporan media antarabangsa, pasukan kecemasan dikejarkan ke kediaman Hogan di Clearwater, Florida selepas beliau mengalami serangan jantung, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sepanjang kerjayanya, Hogan bukan sahaja menjadi simbol gusti profesional di AS malah turut mencipta fenomena global menerusi penampilan karismatik serta gaya persembahan yang ikonik.
Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea berdepan masalah kesihatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas menjalani berbilang pembedahan.
Akhbar Daily Star melaporkan awal minggu ini bahawa Hogan tidak boleh bercakap dan dipantau oleh seorang petugas perubatan di rumah selepas mengalami reaksi teruk akibat pembedahan.
Hogan membuat kemunculan pertama pada 1977 di bawah nama The Super Destroyer sebelum menukarnya kepada Hulk Hogan dan menjadi popular dalam tahun 1980-an.
Sepanjang kerjayanya, dia pernah bertarung dengan The Rock dan Andre The Giant serta mencipta terma Hulkamania. – Agensi
















