KUALA LUMPUR – Perhimpunan Turun Anwar yang berlangsung semalam walaupun tidak mendapat sambutan besar, tetap mencerminkan kematangan demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani hari ini.
Itu kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Sivamalar Genapathy.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan komitmen untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip demokrasi apabila membenarkan perhimpunan itu diadakan secara aman tanpa sebarang gangguan.
“Perhimpunan semalam berjalan lancar dan aman walaupun mesej utamanya mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan. Tiada halangan, tiada kekerasan, tiada tangkapan.
“Malah, polis dan agensi penguatkuasaan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan semua pihak.
”Ini membuktikan kerajaan bukan sahaja bersedia menerima kritikan, tetapi juga melindungi hak rakyat untuk menyuarakan pandangan selagi ia dilakukan secara tertib dan aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivamalar turut mengingatkan mengenai pengumuman Perdana Menteri pada 13 Februari lalu bahawa kerajaan akan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), khususnya memansuhkan Seksyen 11 yang mewajibkan kebenaran daripada pemilik atau penghuni tempat sebelum perhimpunan boleh diadakan.
“Pemansuhan peruntukan ini akan membuka lebih banyak ruang demokratik untuk rakyat berhimpun secara aman tanpa kekangan birokrasi yang tidak wajar,” jelasnya.
Mengimbau pengalamannya ketika berada di blok pembangkang, Sivamalar berkata, keadaan pada masa lalu jauh berbeza apabila peserta perhimpunan berdepan risiko tinggi ditangkap dan terdedah kepada penggunaan gas pemedih mata serta meriam air.
“Hari ini segalanya berubah. Tiada gas pemedih mata. Tiada meriam air. Tiada tangkapan. Ini adalah reformasi sebenar, bukan sekadar dalam bentuk dasar tetapi juga dalam budaya politik dan pendekatan penguatkuasaan,” tegasnya.
Namun, katanya, rakyat juga perlu memahami bahawa usaha pembaharuan yang dibawa kerajaan tidak dapat disempurnakan dalam tempoh singkat.
“Masih banyak yang perlu diperbetulkan dan dibina semula. Mengharapkan kerajaan membetulkan kerosakan selama lebih 60 tahun hanya dalam dua tahun adalah tidak realistik. Reformasi yang berkekalan memerlukan masa, iltizam dan kestabilan politik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited melaksanakan lebih banyak pembaharuan demi manfaat rakyat, namun kejayaan agenda reformasi memerlukan sokongan rakyat dan kestabilan politik.
“Hanya dengan kerajaan yang stabil, dasar jangka panjang dapat dirangka, institusi dapat diperkukuh, harapan rakyat dapat diterjemah menjadi kenyataan.
“Kerajaan komited untuk terus melangkah ke hadapan, bukan demi mempertahankan kuasa, tetapi demi memulihkan negara. Marilah kita bersama-sama mempertahankan ruang demokrasi ini dan menjadi sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















