Sekitar majlis pelancaran MAKAME Butter Studio & Space at One City, Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2025.

SUBANG JAYA Tiga beradik mempertaruhkan rekaan batik berkonsepkan corak ulam dalam koleksi pakaian sedia dipakai di bawah jenama MAKAME, The Art of Heritage.

Jenama ini diasaskan oleh Tengku Mahanis Tengku Maulud, Kasma Sahimizan Mamat, dan Tengku Melanie, yang sama-saama berkongsi impian untuk memperkenalkan batik berunsurkan alam semula jadi agar lebih dikenali di tanah air.

Salah seorang pengasas dan pemilik bersama MAKAME, Kasma Sahimizan berkata, idea untuk memulakan perniagaan ini tercetus apabila adiknya, Mahanis, pulang ke tanah air selepas menetap di luar negara selama lebih 20 tahun.

Tengku Melanie Tengku Maulud (kiri) bersama Kasma Sahimizan Mamat, (tengah) dan Tengku Mahanis Tengku Maulud, (kanan) bercakap pada Majlis Pelancaran MAKAME Butter Studio & Space at One City, Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2025.

Katanya, ketika itu Mahanis menyuarakan hasratnya untuk memulakan perniagaan bersama adik-beradiknya. 

Walaupun memiliki pengalaman dalam dunia batik, Kasma berkata, mereka bertiga mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

“Batik bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi rekaan yang ada sering kali kelihatan serupa dan biasanya digunakan untuk baju kurung atau kaftan.

“Jadi, kami putuskan untuk tampil dengan kelainan – batik bercorak ulam,” katanya kepada MalaysiaGazette pada majlis pelancaran MAKAME di sini hari ini.

MAKAME merupakan gabungan nama  mereka bertiga.

Antara koleksi MAKAME. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2025.

Untuk koleksi sulung ini, MAKAME menampilkan 12 motif ulam yang terkenal di Malaysia seperti bunga kantan, bunga telang, daun kunyit, daun pegaga, daun selom dan daun ketereh.

Koleksi yang seterusnya, insya Allah kami akan keluarkan dalam tempoh tiga bulan lagi, bukan lagi corak ulam tapi masih berunsurkan semula jadi,” jelasnya.

MAKAME kini dijual secara eksklusif dalam talian melalui platform TikTok dan Instagram, dengan harga bermula daripada RM200 hingga RM300 ke atas.

Menurut Kasma, koleksi kedua dijangka dilancarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang, dengan konsep baharu berteraskan elemen semula jadi yang lain.

Beliau turut menyatakan harapan agar jenama MAKAME bukan sahaja mendapat tempat di pasaran tempatan, tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa.

“Kami ingin batik Malaysia dikenali di pentas global, bukan sekadar kekal di dalam negara,” tambahnya.MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast