JOHOR BAHRU – Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang menghasilkan karikatur mirip Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan tajuk Sumpah Keramat Perdana Menteri Ke-11 yang kini tular dalam media sosial.

Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya mendesak pihak bertanggungjawab tampil memohon maaf secara terbuka.

“Karikatur ini bukan sahaja bersifat provokatif dan sinis malah dilihat cuba memainkan sentimen serta meremehkan peranan seorang tokoh ulama dan negarawan yang telah lama berjuang dalam arena dakwah dan politik tanah air dengan penuh maruah serta konsisten.

“Karikatur seumpama ini menggambarkan kemerosotan etika dalam wacana politik negara. Ia memperlekeh individu dikenali sebagai seorang tokoh agama disegani dan cuba mencetuskan persepsi buruk terhadap Pas serta gerakan Islam secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Ridhwan berkata, tajuk Perdana Menteri Ke-11 itu bukan sahaja bersifat sindiran malah bertujuan menanam persepsi kononnya wujud agenda tersembunyi dan rakus terhadap kuasa dalam Pas.

Sedangkan katanya, Pas konsisten menyeru kepada politik nilai, takwa dan integriti.

Jelasnya, Pas mengiktiraf hak bersuara dan berkarya namun tidak wajar dijadikan medan menghina atau mempermainkan watak tokoh agama semata-mata demi agenda politik murahan.

“Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah figura yang telah memberi sumbangan besar dalam mengangkat politik Islam dan suara rakyat,” ujarnya.

Tegas beliau, menghinanya dalam bentuk karikatur sinis hanya mencerminkan ketandusan hujah pihak musuh.

Justeru Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) menyeru semua ahli dan penyokong Pas serta rakyat yang cintakan kebenaran agar membuat laporan polis terhadap pihak yang menerbit dan menyebarkan karikatur itu.

“DPPNJ berdiri teguh mempertahankan maruah Tuan Guru serta prinsip perjuangan Islam yang tulen. Kami percaya rakyat yang matang dapat menilai niat sebenar di sebalik penyebaran karikatur tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast