Foto: IHSAN AKPS

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan ditahan bersama beberapa ekor haiwan eksotik yang cuba diseludup keluar dari negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Unit Komunikasi Korporat, Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, wanita itu ditahan pukul 9.10 malam bersama spesies hidupan liar itu yang disembunyikan di dalam bagasi.

Terdahulu pegawai AKPS menjalankan pemeriksaan bagasi rutin di kawasan Hammerhead H2, KLIA Terminal 1 ke atas bagasi milik penumpang penerbanganD Malaysia Airlines MH0198 yang dijadualkan berlepas ke Hyderabad (KUL-HYD) pada pukul 9.30 malam.

“Suspek iaitu seorang wanita warganegara Malaysia berusia 36 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan telah ditahan serta-merta.

“Antara haiwan yang dirampas adalah empat ekor disyaki Siamang, seekor disyaki beruk dan empat ekor disyaki sugar glider,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua haiwan itu merupakan spesies yang dilindungi dan dipercayai diseludup untuk tujuan perdagangan haram antarabangsa.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM127,000 dan suspek dibawa ke Balai Polis KLIA untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

“Pemeriksaan bersepadu AKPS KLIA dengan kerjasama pihak AVSEC KLIA akan terus dipergiatkan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan hidupan liar melalui laluan udara negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast